Telah berkata Umar al-Khattab,
Barang diambil di dalam kitab,
Perihal anak syaitan diungkap,
Sembilan jenisnya telah dicakap.
Awal dikhabar Zalituun namanya,
Diam di pasar dan kedai merata,
Menggoda agar boros berbelanja,
Membeli walaupun keperluan tiada.
Kedua Wathiin nama syaitannya,
Menghasut orang ditimpa bencana,
Menggoda agar berburuk sangka,
Kepada ALLAH Tuhan semesta.
A’awan nama syaitan ketiga,
Menghasut pemerintah beserta raja,
Seronok lalai dengan kedudukannya,
Menjauhi sekalian Ulama` yang ada.
Keempat Haffaf haruslah jaga,
Si kaki botol taulan utama,
Disko, kelab malam jadi tempatnya,
Di mana ada arak, di situlah dia.
Seterusnya Murrah syaitan kelima,
Melalaikan pemuzik juga peminatnya,
Sehingga lupa ALLAH dan RasulNYA,
Lalai tenggelam di keseronokan dunia.
Keenam syaitan bernama Masuud
Pada manusia diam di mulut,
Lahirkan fitnah gosip yang karut,
Termasuk umpatan dan carut marut.
Masuk ke rumah tak beri salam,
Ditunggu Daasim luar dan dalam,
Runtuhkan hubungan siang dan malam,
Keluarga yang hancur itu diidam.
Walahaan pula syaitan kelapan,
Menimbul was-was di dalam badan,
Wudhu dan solat ingin dijejaskan,
Agar ibadat tiada kesempurnaan.
Lakhuus syaitan akhir sekali
Diam di kuil juga di candi,
Sahabat kepada orang Majusi,
Penyembah api dan matahari.
Begitulah khabar ayuhat Talib,
Setelah didengar tidaklah gharib,
Segera beramal jadikan ghalib,
Kepada ALLAH menjadi muhib.
Telah disempurnakan syair ini selepas zohor di kamar Puspa Kencana, Bandar Baru Sentul pada 4 Rabiul Akhir 1432 bersamaan 10 Mac 2011 hari Khamis jam 1530.
0 comments:
Post a Comment